Sunday, January 3, 2010

Jihan Raja Lawak Pernah Juarai 'Shuffle' Wanita

Jumaat Januari 1, 2010
Jihan Raja Lawak Pernah Juarai 'Shuffle' Wanita

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

Photobucket
Jihan mempunyai bakat dalam bidang tarian dan pernah menari di persembahan Citrawarna dari tahun 2000 hingga 2004, Pesta Senirama Negeri Selangor pada tahun 1995 hingga 1999 termasuk beberapa pertandingan tarian.-foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

“ALHAMDULILLAH, rezeki saya dalam karier seni ini belum putus tetapi tidaklah berganda-ganda,” kata Jihan, Naib Juara Raja Lawak musim ketiga saat ditanya tentang perkembangan seninya sekarang.

Gadis berusia 26 tahun ini begitu merendah diri saat disapa untuk mengadakan sesi fotografi bersama mStar Online. Tidak seperti sesetengah artis baru lain yang baru mengenal dunia glamor.

Walaupun masih ‘hijau’ dan tidak terlalu dikenali dalam industri seni ini, Jihan berkata dia tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha menempatkan diri sebaris dengan artis-artis lain yang telah berjaya.

Photobucket

Biarpun begitu, setiap tawaran yang diberikan tidak akan dibolot kesemuanya, malah cerita pemilik nama Nur Jihan Musa, dia akan menyelesaikan sesuatu kerja itu secara satu persatu.

Menyingkap tentang pengalaman seni yang ditimba setakat ini, Jihan berkata ringkas ‘kerja seni best, saya suka berkarya seni dan enjoy masa berteater’.

Jihan yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang teater sebelum menyertai Raja Lawak berkata dia masih aktif dalam bidang itu.

“Selain membuat teater, saya juga menerima tawaran berlakon dan kebanyakan watak yang diberikan kepada saya adalah watak komedi.

Photobucket

“Antara drama dan program yang dilakonkan oleh saya adalah Lawaking 2009, Cak Cak 2009, Jongkang-Jongkit (26 episod), Bujang Sepah Silalitamplom, Lawak Raya Suatu Ketika Dahulu, Pelakon Ekstra, Fatimah Juling, Caparella (13 episod) termasuk filem Adik Manja Returns tetapi ada yang telah ditayangkan ada yang belum,” ceritanya ketika ditemubual di Menara Star.

Jihan akui kebanyakan tawaran lakonan yang diterima olehnya datang daripada pihak Astro.

“Saya merupakan produk Astro, jadi saya masih bekerja secara sambilan dengan stesen TV itu.

“Saya masih mendapat tawaran berlakon dan diingati oleh pihak Astro,” katanya yang juga masih berkhidmat sebagai juruteknik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Photobucket

Menurut gadis berasal dari Shah Alam, Selangor ini, dia hanya akan menggunakan masa terluangnya untuk melakukan aktiviti seninya.

“Saya hanya bekerja pada waktu office hour di MBSA selama lima hari seminggu. Tetapi, alhamdulillah nasib baik pengarah di Jabatan Bangunan begitu memahami minat dan kerja sambilan saya,” katanya yang bertugas melakukan pemeriksaan bangunan di seluruh Shah Alam.

Bercerita mengenai pengalamannya ketika melakukan tugasan, Jihan masih teringat tentang bagaimana dia dan seorang wanita bertukar-tukar tandatangan dan anak wanita itu pula sibuk hendak bergambar dengannya.

“Saya berasa pengalaman ini agak kelakar dan membuatkan saya susah hendak serius melakukan kerja.

Photobucket

“Suatu hari, saya pergi sebuah kedai di Kampung Subang Perdana untuk membuat pemeriksaan lesen perniagaannya.

“Saya perlu mendapatkan tandatangan dia, selepas itu dia pula yang meminta autograf saya. Kemudian, anak dia ambil gambar dengan saya,” beritahunya lagi.

Seperti yang diketahui, Jihan bergiat di pentas teater kelolaan Sanggar Teater Fauziah Nawi (M) Sdn. Bhd. atau lebih dikenali dengan nama Stefani sejak tahun 2005.

Antara teater yang pernah dijayakan oleh Jihan adalah Mahsuri, Malam 7 Drama 7 Duri, KLKu, Lorong Blues dan Kembang Layarku.

Photobucket

Selain itu, Jihan berkata Stefani juga sedang dalam proses untuk membuat projek teater ke luar negara tentang muzikal kanak-kanak pada tahun 2010 nanti.

Dalam perkembangan lain, Jihan juga mempunyai bakat dalam bidang tarian dan pernah menari di persembahan Citrawarna dari tahun 2000 hingga 2004, Pesta Senirama Negeri Selangor pada tahun 1995 hingga 1999 termasuk beberapa pertandingan tarian.

Antaranya, Pertandingan Tarian Shuffle, Cabaran Tarian Rexona No-Sweat, Pertandingan Street Dance dan Festival Tarian KL-International dari tahun 2000 hingga 2007.

Menurut Jihan, Aril Akademi Fantasia (AF) 7 pernah menjadi pasangannya dalam sebuah pertandingan shuffle dan dia telah menjuarai kategori wanita.

Jadi, tidak mustahil jika dia tidak mempunyai masalah untuk menari shuffle ketika berlakon filem Adik Manja Returns.

2 comments:

  1. salam .. jihan memang lawak giler .. nenek kte yang seorang yang serius pun ble gelak ngan lawak jihan .. hu2x jihan mmg pelawak perempuan no.1 .. go jihan .. kte doakan jihan akan terus kekal dalam industri yang diceburi , insyallah ..

    ReplyDelete
  2. thx.. amin.. doa2kan la ye.. :)

    ReplyDelete

tq for all your comments...